Pesan
Sang Guru
Sesiapa yang inginkan kemenangan
dunia dan akhirat, janganlah dibiarkan masa berlalu dengan penuh kerugian.
Jadikan setiap nafasmu nafas ibadah.
Wahai saudaraku,
Setelah engkau memiliki ilmu tiada
lagi perkara yang penting melainkan beramal dengan ilmu, berilmu tanpa amal
adalah binasa. Janganlah engkau berpaling lagi ke belakang, terus sucikan
dirimu untuk menghampiri Tuhanmu sehingga terbuka cahaya hatimu dengan ilmu
terus dariNya tanpa perantaraan. Hatimu akan bersinar dengan cahaya makrifat
dan engkau memiliki harta yang amat bernilai, harta yang tiada dijual didunia
ini, tiada dimiliki oleh para jutawan dan para raja, harta yang menyebabkan
engkau senantiasa tenang dan tiada mengharapkan apa bantuan dari sekelilingmu.
Engkau akan diangkat menjadi kekasihNya sehinga segala hajatmu akan dipenuhi,
engkau akan dijagaNya sehingga siapa yang menyakitimu akan diisytihar
perang ke atasnya. Tiada kemenangan yang hakiki melainkan berada dalam taman
keridhaan takdirNya, hati yang terang menatap rahasiaNya, hati yang asyik dengan
Asma’Nya, hati yang fana dengan kewujudanNya.
Wahai saudaraku...,
Apabila engkau benar-benar beramal
dan bersungguh bermujahadah dengan penuh keikhlasan, engkau akan dikasihiNya
sehingga akan dilimpahkan ke dalam hatimu rahasia di sebalik rahasia. Engkau akan
diperlihat hakikat di balik syariat, engkau mengenal dirimu dengan pengenalan
yang hakiki, bukan diatas hafalan ilmu semata-mata tetapi dengan dzauk dan
Penglihatan. Hatimu diberiNya Nur sehingga dengan Nur tersebut akan dapat menyaksikan
Rahasia DiriNya. Engkau mencapai makrifat denganNya bukan dengan Guru manusia,
Dia sendiri yang akan membisikkan pada sirrmu bahawa “ANA AL-HAQ”, maka
tenggelamlah engkau dalam makrifat sehingga engkau tiada melihat tiada segala
sesuatu melainkan Ia. Engkau akan melihat bahwa tiada suatu gerak melainkan
gerak dariNya, tiada sesuatu yang maujud melainkan disana ada wujudNya, engkau
akan memahami firmanNya; “Di mana kamu hadap disitulah wajah Allah”, “Wahai
manusia, sesungguhnya kamu adalah fakir disisi Allah”, “Di mana kamu berada
disitulah Ia berada” dengan kefahaman yang tiada dimiliki oleh orang biasa.
Tafsiran syariat adalah pembukaan
sedangkan pentafsiran hakikat dengan dzauk dan pandangan. Tiada akan sama
seorang yang melihat permukaan laut dengan mereka yang menyelam ke dasar laut.
Tiada sama mereka yang mengenal diriNya pada permukaan zahir dengan mereka yang
menyelam ke dalam lautan rahsia diri. Tiada akan sama dengan seorang yang
belajar mengenal Tuhan dengan Guru manusia dengan mereka yang mengenal Tuhan
dengan Tuhan sendiri. Tiada akan sama mereka yang mengucap "La ilaha illaLlah" di
alam syariat dengan mereka yang mengucapnya di alam hakikat. Tidak akan sama
huruf, kalimat dan bunyinya pada alam syariat dengan alam hakikat, tiada akan
sama kenikmatan atau kepedihan di alam nyata ini dengan alam hakikat, tiada
akan sama orang yang mati hatinya dengan orang yang hatinya sentiasa hidup dan
asyik dengan Tuhan dan inilah yang mesti difahami sebagaimana firman Allah
“Tidak sama orang yang berilmu dengan orang yang tiada ilmu,” “Tiada akan sama
orang ahli syurga dengan ahli neraka”.
Wahai para Salik,
Jika engkau bersungguh-sungguh
mengamalkan zikir di bawah bimbingan Guru yang telah terbuka baginya rahasia
segala alam sehingga telah mencapai kesempurnaan makrifat, engkau akan
merasakan perubahan pada rohanimu. Ruhmu akan melalui pendakian dari hati yang
lalai kepada hati yang hidup mengingat Allah, dari hati yang hidup mendaki
kepada hati yang asyik, kemudian mendaki pula kepada hati yang fana dan kemudian
mendaki pula (kepada) meminum rahasia makrifat di alam yang tinggi. Nabi saw
telah melakukan israk mikraj, membuka dan membelah langit bagi umatnya kepada
Tuhannya.
Janganlah menjadi manusia yang bodoh
dan lalai, pintu yang yang terbuka perlulah dilalui. Nabi dipimpin oleh
malaikat Jibrail menujuNya dan engkau memerlukan Mursyid yang memimpin tanganmu
dengan kasih sayang menuju TuhanMu. Kamu dibawa ke alam peleburan diri sehingga
tiada kamu temui sesiapapun disitu melainkan DIA SAJA YANG WUJUD. Engkau akan
memahami kalimah "la ilaha illaLlah wahdahu laa syarikaalah" dengan kefahaman
yang terkunci lisanmu hendak dinyatakan. Engkau juga akan memahami beberapa
ramai orang yang tidak mencapai kesempurnaan maqam ini tersilap tafsirannya
sehingga ada yang mengaku dirinya Tuhan, mengaku dirinya jelmaam Tuhan, mengaku
dirinya dan Tuhan bersatu sehingga ada dikalangan mereka yang meninggalkan
syariat. Mereka tiada dibuka rahsia dengan sempurna atau pandangan makrifat
mereka beserta dengan syaitan atau Jin. Mereka coba berbicara ilmu para sufi namun
mereka gagal dalam menyelami rahasia “ADAM” dan“ MUHAMMAD”. Mereka juga gagal
memahami rahasia mufaraqah sebagaimana terpisahnya air laut dengan air sungai
atau terpisahnya api dengan asap.
Wahai saudaraku,
Berjalanlah dirimu kepada Tuhan
dengan berpakaian syariat, tarekah, hakikat dan makrifat. Syariat itu adalah
pakaian Nabi, tarekah itu adalah perjalanan Nabi, hakikat itu adalah batin Nabi
dan makrifat itu adalah rahasia Nabi. Berpakaian syariat saja tanpa hakikat
adalah fasik, hakikat saja tanpa syariat adalah zindik. Seorang yang berada
di alam syariat saja adalah masih tertipu kerana apa yang dilihat dan
didengar oleh syariat tidak menjamin akan kebenaran hakikat, justru itu
seseorang perlu menyelami lautan hakikat dan tiada cara untuk menghubungkan
antara ilmu syariat dan ilmu hakikat melainkan berilmu dan mengamalkan tarekah.
Apabila dadamu benar-benar memiliki rahasia ilmu para auliya, engkau akan
memahami kenapakah mereka itu amat kuat takut pada Allah, amat kuat berpegang
pada syariat, amat wara’ dalam setiap pekerjaan, amat zuhud pada dunia, amat
ridha dengan takdir Allah, amat kuat ibadahnya, amat baik akhlak jiwanya, amat
kuat tawakalnya, amat tinggi syukurnya dan amat tinggi cintanya pada Allah dan
Rasul. Mereka memiliki penglihatan yang tidak dapat dilihat oleh mata biasa, ia
adalah Nur yang dicampakkan ke dalam dada oleh Tuhannya sehingga tembus
penglihatannya pada alam rahsia dan FANA dan BAQA ia dengan kekasihnya.
Fahamilah ia rahasia cahaya di sebalik cahaya. Berbahagialah mereka yang
mencapainya dan merekalah yang sebenarnya telah mencapai kejayaan hakiki baik
dunia atau akhirat.
WaLlahu ‘alam.
Dipetik daripada "Kitab
Pendakian Salik Menuju Allah" karangan Syeikh Tokku Ibrahim Mohamad
Tidak ada komentar:
Posting Komentar